Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Kali ni CF nak kongi ciri-ciri pelajar cemerlang :)
mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul
- Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa
menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kira ketika bersama keluarga,
guru mahupun rakan-rakan. Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang
sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa
berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong
dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang
cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak
pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan
prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di
sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul
disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra
kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa
pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul
sentiasa mengikut ajaran agama
- Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan
tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang
cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi
landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang
seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia
adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa
mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh
mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa
menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat
serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah
bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak
terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang
dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya
- sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang
berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah.
Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar
aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani.
Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar
tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja.
Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan
mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal
ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan
dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri
mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan
setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak
mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut
ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar
yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam
kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar
- perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium
pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman
mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar
haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran
dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik
waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita
tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian
pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang
malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek
yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang
berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para
guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi
keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam
pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan
datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang
sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
mempunyai wawasan hidup
- wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala
cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang
sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu
mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup
berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa
belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri
dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan,
mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek,
yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga
lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa
dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam
sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan
kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih
gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri
daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang.
Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa,
alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat
negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka
dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang
sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum
- melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para
pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan.
Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang
aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan
seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan
sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat
mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan
yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan
bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform
mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai
pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti
pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap
pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi
seorang pelajar yang cemerlang
No comments:
Post a Comment