3. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai
kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang
pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan
masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara
pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini.
Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar
yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar
matlamat tersebut tercapai.
4. Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan
sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas.
Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya.
Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah
pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan
'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari
nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka
sendiri.
5. Mulakan dari awal
Pelajar yang cemerlang membuat
persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada
ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya.
Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal.
Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan
rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan
sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap
sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal
diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau
oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang
berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan
bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan
esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock'
anda akan berkata 'Just bring it on..!'
7. Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan
keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan,
buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi.
Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan
yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan
hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan,
anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda
rasa 'bengang'?
8. Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu
belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke
sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan.
Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila
sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi
pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
9. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan
bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti
kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan
tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan
kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan
penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
10. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa
menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas
atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu
sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
11. Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab
dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli
falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah
ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
12. Beri pandangan membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi
pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara
memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan
semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan
mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
13. Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang
dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini
biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau
dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman
terhadap sesuatu pelajaran.
14. Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan
tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau
kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar
yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang
diberikan oleh guru mereka.
15. Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan
kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai
visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan
tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang!
Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang
hanya suka temberang.
16. Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan
perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu
pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang
sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
17. Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar
atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan
tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana
ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
18. Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton
rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti
Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah
rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.
19. Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian
dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan
sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar
juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah
ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika
gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan
peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi
tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu,
pandai-pandailah cari ubatnya.
20. Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan
jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta
nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan
corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
21. Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
22. Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti
seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik
menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan
oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada
pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
23. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku
rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta
bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk
subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by
its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik.
Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
24. Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
25. Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan
lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak
membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu.
Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering
menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya
akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah
sendiri)
26. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai
pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang
cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan
melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan
pemikiran yang lembab.
27. Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup
menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu
penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar
untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah
hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan
membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar
melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau
buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat.
Pandai-pandailah membawa diri.
28. Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga
keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat
mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api,
elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan
kanan dalam kemalangan.
29. Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan
tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan
makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari
makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah
tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan
kesihatan.
30. Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan
mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan
menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan
lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan
tubuh badan.
31. Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk
menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam
peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu
sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi
dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang
telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi
peperiksaan.
32. Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga
sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu
seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan
Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
33. Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa
dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga
sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
34. Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri
kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi
kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai
iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan
sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.